♪ KEPADA YANG ESA KU POHONKAN SEMOGA TEMPATMU DI SISINYA.. ♫

Saturday, 19 November 2011

Misteri Dapur Berhantu


Amri duduk menanti kedatangan Zahar, rakan karibnya yang tinggal nun jauh di utara tanahair. Sudah tentu perasaannya gembira kerana ini kali pertama Zahar datang berkunjung ke kampung halamannya. Kedatangan Zahar disambut dengan girang, dibawanya Zahar berjalan-jalan sakan.

Amri juga membawa Zahar berkunjung di sebuah kawasan pelancongan yang terkenal di kampung halamannya dan ternyata kunjungan Zahar tidak sia-sia. Malam itu Amri mempelawa Zahar tidur di rumahnya. Pada mulanya Zahar menolak kerana segan, lagipun Amri tinggal bersama ibubapanya. Tapi setelah dipujuk, Zahar akur. Lagipun dikhabarkan ibu dan bapa Amri tiada kerana ada urusan di Melaka.

Malam itu entah kenapa Zahar tak boleh melelapkan mata. Dipandangnya Amri sudah berdengkur sakan. Zahar cuba bergolek ke kiri dan kanan namun masih tak mampu melelapkan diri.
Tiba-tiba dia terdengar sesuatu yang mencurigakan. Zahar berdebar-debar, dia cuba mengejut Amri namun tiada respon. Bunyi bising itu datangnya dari dapur, lantas Zahar memberanikan diri melihat.

Perlahan-lahan kakinya melangkah. Zahar mengintai di balik tirai, alangkah terkejutnya dia melihat lembaga putih di dapur sedang membuka peti sejuk. Dek kerana takut, Zahar lari masuk ke bilik dan berselubung sambil menggigil seluruh badannya.

Amri yang sedang lena terkejut bila terasa Zahar melompat ke katil. Lantas dia bertanya kepada Zahar.

"Aku nampak pocong kat dapur kau la!" jawab Zahar terketar-ketar.

Amri terkejut, dia segera bangun mahu melihat. Belum sempat dia keluar, kelibat lembaga putih tadi menjelma di balik pintu.

"Ya Allah! Hantu! Hantu!" jerit Zahar ketakutan.

Tanpa berkata panjang, Amri melempang muka Zahar.

"Hantu kepala hotak kau, ni mak aku la!" jelas Amri.

"Bukan ke mak bapak kau pergi Melaka?" soal Zahar tak puas hati.

"Makcik baru je sampai. Lepas solat tadi terasa dahaga pulak, tu yang makcik ke dapur." jawab mak Amri.

Zahar terasa bengang tak terhingga dan barulah dia tersedar dia ketakutan sampai terkencing di dalam seluar. Adoyai!

Dalam Hati Ada Landskap!


Assalamualaikum.

Lama rasanya aku menyepi dari sebarang update disebabkan line tenet yang bermasalah ditambah pulak dengan bebanan kerja yang semakin menimbun.

Akhirnya sempat aku mencuri masa untuk update blog kecik aku ni, tapi kali ni belum ada idea nak berkongsi kisah misteri. Kisah misteri yang membuatkan korang selalu menyumpah-seranah aku. Hahaa.....

Kali ni aku nak meluahkan isi hati aku. Kebetulan tangan ni gatal nak bukak balik akaun MySpace aku yang dah bertahun terbengkalai. Dah banyak berbeza MySpace sekarang. Aku pun belek-belek akaun aku, rasanya dekat 4 tahun aku tinggalkan.

Bila aku bukak balik inbox, mata aku ni meliar pulak pada mesej-mesej lama antara aku dengan ex aku. Kali terakhir aku mesej dia sekitar penghujung Januari 2007. Lantas aku baca satu persatu. Alamak, comfirm la dalam hati aku ada landskap. Aku tak boleh handle la perasaan aku, touching habis.

So, aku pun usha la gambar-gambar lama sambil mendengar lagu Cinta Kristal. Eh, dah kenapa dengan aku ni? Kenapa aku ingat balik dia lepas lebih 4 tahun aku cuba lupakan dia? Kenapa? Why? Punya la susah aku nak hilangkan memori dia dari ingatan aku, bila aku dah berjaya tiba-tiba memori tu datang balik.

Ya Allah! Sekeras-keras hati aku ni akhirnya tersingkap jugak kaler 'pink'nya. Semakin aku cuba jauhkan diri dari ingatan kat dia, tapi makin dekat dia datang pada aku. Apa yang patut aku buat sekarang?

Tuesday, 8 November 2011

Misteri Pontianak Jam 12 #2


Malek, seorang pemandu teksi veteran yang telah lama bersara dari angkatan tentera. Walaupun mendapat wang pencen tiap-tiap bulan, tapi Malek terpaksa mencari pendapatan sampingan untuk menyara sisa hidup. Malek sangat komited, biasanya dia akan memandu bermula jam 10 pagi hinggalah lewat jam 3 pagi barulah dia pulang ke rumah.

Ramai rakan-rakan serta saudara bertanya kepadanya mengenai cabaran memandu waktu malam serta risikonya memandangkan terlalu banyak berita mengenai kejadian rompakan ke atas pemandu teksi serta berbagai lagi cerita seram.

Malek sendiri ada mendengar kisah mengenai pontianak jam 12 di kampung Limau Mandarin yang heboh satu ketika dulu. Malahan dia pernah dengar beberapa rakan pemandu diganggu pontianak, namun diabaikan sahaja.

Suatu malam Malek memandu melalui sebuah kawasan perkampungan untuk menghantar penumpangnya yang baru tiba dari luar negara. Selepas menurunkan penumpangnya, Malek bercadang ingin pulang awal ke rumah. Ketika melalui sebuah kawasan perindustrian, ada seorang gadis yang baru pulang bekerja menahan teksinya. Malek segera memberhentikan teksinya mengambil penumpang tersebut.

Gadis tersebut meminta Malek menghantarnya ke Kampung Cangkerang Labi-Labi. Ketika memandu menuju ke destinasi, tiba-tiba Malek teringat tentang kisah pontianak di Kampung Limau Mandarin yang terletak bersebelahan. Dia melihat cermin, alangkah terkejutnya dia saat terpandang gadis berkenaan bertukar wajah dengan rambutnya yang mengerbang ala-ala Joey BPR.

Perasaan takut mulai menyelubungi segenap diri Malek menyebabkan pemanduannya tidak konsisten. Dia bertambah takut saat terasa kuku tajam gadis berkenaan mencucuk tengkuknya.

"Alamak, panjangnya kuku pontianak ni! Mati la aku," bisik hati Malek.

Namun Malek tetap meneruskan perjalanan sambil membaca macam-macam doa sehinggalah dia tiba di destinasi tersebut. Gadis berkenaan menghulurkan wang tambang sebanyak RM12, menggigil-gigil tangan Malek mengambilnya.

"Pakcik mengantuk ke?" soal gadis terbabit sebelum turun.

"Eh, tak la. Mana ada mengantuk," jawab Malek kehairanan.

"Saya tengok pakcik bawa teksi terhuyung-hayang, sebab tu saya cucuk pakai ranting kayu ni." jelas gadis terbabit.

"Hampeh, mati-mati la aku ingatkan pontianak. Rupanya manusia betul. Nasib baik la aku tak mati sakit jantung," bisik hati Malek.

p/s : Diadaptasi dari kisah sebenar seorang pemandu teksi (bapak sedara aku)..

Saturday, 5 November 2011

Misteri Nenek Kebayan


Di pinggir sebuah kampung, tinggal seorang nenek tua yang sangat misteri. Nenek ini tinggal seorang diri, tiada suami, tiada anak dan tiada sanak saudara. Tinggal pula di pinggir kampung berhampiran dengan kawasan hutan. Terpinggir pula dari masyarakat dek kerana cerita-cerita yang tidak enak. Ada yang kata dia nenek kebayan dan macam-macam lagi tanggapan negatif masyarakat.

Kemisterian nenek kebayan membuatkan Jidin dan Ramli, dua orang pemuda kampung paling berpelajaran tinggi berhajat besar menyiasat kebenaran tuduhan negatif penduduk kampung. Maka pada satu hari tu Jidin dan Ramli bersepakat pergi ke rumah nenek kebayan di pinggir kampung untuk melihat sendiri dakwaan penduduk kampung.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 9 malam dan suasana di situ sangat suram serta menyeramkan. Ditambah pula dengan keadaan halaman rumah nenek kebayan yang tidak terurus serta dipenuhi lalang yang meninggi.

"Peh, boleh pulak nenek ni duduk kat tempat macam ni? Aku rasa ular pun seram nak masuk sini," ujar Ramli.

"Tu la pasal, gile semak rumah nenek ni. Patut la orang panggil nenek kebayan," balas Jidin pula.

Mereka merangkak ala-ala komando menghampiri rumah nenek kebayan. Di celah-celah dinding yang reput mereka mengintai dan kelihatan samar-samar nenek kebayan sedang duduk sambil memegang sesuatu seakan bola ajaib (benda bulat yang selalu nenek kebayan buat ramalan tu).

"Isk, betul la orang kampung kata. Nenek ni memang nenek kebayan! Kau nampak tak nenek tu tengah mandrem dengan bola....." jelas Jidin namun saat dilihat sebelahnya Ramli sudah tiada dan kelihatan Ramli melarikan diri ketakutan.

Jidin menoleh kembali ke celah rumah dan terkejut dia melihat kelibat nenek kebayan di hadapannya maka dia pun segera melarikan diri tanpa menoleh ke belakang.

Keesokkannya gemparlah di kampung kisah Jidin dan Ramli. Mereka berdua menceritakan apa yang mereka nampak saat berada di rumah nenek kebayan. Cerita itu menarik perhatian Jasman, seorang penguatkuasa Jabatan Agama Islam. Jasman segera meminta Jidin dan Ramli menunjukkan lokasi rumah nenek kebayan tersebut dikhuatiri nenek tersebut mengamalkan ilmu songsang.

Tengah hari itu juga Jidin dan Ramli membawa Jasman diiringi beberapa anggota penguatkuasaan dari Jabatan Agama Islam pergi ke rumah nenek kebayan.

Selepas memberi salam dan memperkenalkan diri kepada nenek kebayan, Jasman bertanya beberapa soalan menginginkan kepastian daripada nenek tersebut.

"Betul ke saya dengar nenek ada amalkan ilmu hitam?" soal Jasman.

"Kau gila ke? Siapa yang cakap? Apa buktinya?" marah nenek kebayan.

"Saya nampak nenek tengah menjampi dengan bola ajaib nenek malam tadi!" sampuk Jidin.

"Oh, jadi kau la yang mengintai rumah aku malam tadi ye?" marah nenek kebayan lagi.

"Nenek jangan nak berdalih, cepat tunjuk kami mana nenek simpan bola ajaib nenek?!" ugur Jidin melampaui penguatkuasa Jabatan Agama Islam.

Dengan marahnya nenek kebayan tadi melepuk Jidin menggunakan batang penyapu.

"Bodoh! Dah la aku susah ni tak dapat bantuan JKM, korang pulak tak habis-habis nak fitnah aku macam-macam! Yang kau mengintai aku malam tadi, aku tengah bagi makan ikan dalam balang bulat atas meja tu! Bila masanya aku ada bola ajaib?" marah nenek kebayan sambil menunjuk akuarium bulat kepada mereka.


Friday, 4 November 2011

Misteri Pontianak Jam 12


Setiap kali jam 12 malam, mesti penduduk sekitar Kampung Limau Mandarin pasti akan pulang ke rumah serta-merta. Ini semenjak tersebarnya cerita oleh beberapa kutu kampung yang mendakwa terserempak dengan pontianak yang kebetulan mesti berlaku pada jam 12.

Perkara ini sangat meresahkan penduduk kampung yang bekerja di bandar kerana mereka sering pulang lewat. Semenjak hebahnya kisah ini ditambah pulak pak Imam kampung sendiri pernah terserempak memaksa segelintir kaum hawa berhenti kerja di bandar dan hanya membuat kerja-kerja di kampung.

Kisah pak Imam terserempak dengan pontianak tersebut paling menjadi perhatian. Difahamkan ketika itu dia pulang dari melawat sahabatnya yang sedang uzur. Ketika melalui sebuah simpang sekitar jam 12, dia terserempak dengan pontianak tersebut dan kerana terkejut dia terpulas throttle motosikalnya. Akibatnya dia terlantar di hospital kerana dia dan motosikalnya terjunam ke dalam parit berhampiran.

Satu hari tu Kamal yang baru pulang ke kampung ketika cuti dikatakan ternampak Hassan, rakan lamanya menunggang motosikal yang mana tanpa disedarinya pontianak tersebut membonceng motosikalnya. Kamal cuba memberitahu Hassan tapi kerana rasa takut dia tak mampu berkata apa-apa.

Keesokkannya dia kebetulan bertemu dengan Hassan di warung. Ketika itulah dia mengambil kesempatan memberitahu Hassan apa yang dilihatnya malam tadi.

"Hassan, malam tadi aku nak beritahu kau tapi aku tak terpanggil. Seram aku dibuatnya," ujar Kamal.

"Kenapa? Kau pun nampak pontianak tu ke?" soal Hassan pula.

"Malam tadi aku nampak kau bonceng pontianak tu! Seram aku tengok. Rambut mengerbang, duduk belakang motor kau!" jelas Kamal membuatkan semua orang di warung terkejut.

Hassan segera melempang muka Kamal.

"Tu bini aku, baru balik kerja kilang. Jadi yang selama ni orang cerita pontianak jam 12 tu bini aku la ye? Mentang-mentang bini aku tak lawa, orang kata pontianak pulak!" marah Hassan sebelum bertindak pergi meninggalkan Kamal terpinga-pinga di warung tersebut.

p/s : Betul ke bini Hassan yang orang kata pontianak tu? Ataupun memang ada pontianak?

Misteri Pengemis


Sudah menjadi kebiasaan buat si kembar iaitu Shiqa dan Rafiqa membantu ibu dan bapa mereka berniaga setiap petang. Walaupun sekadar menjual kuih-muih serta pisang goreng, namun sambutan orang ramai sangat menggalakkan.

Suatu petang tu datang seorang pelanggan lelaki yang agak comot dengan baju compang-camping. Kerana rasa simpati, Shiqa memberi sedikit kuih buatnya. Lelaki itu pada mulanya cuba menolak, namun Shiqa berkeras memberinya sedikit makanan.

"Kenapa tu Shiqa?" soal Rafiqa kehairanan melihat gelagat mereka berdua tadi.

"Kesian aku tengok pengemis tu. Bila aku bagi kuih dia menolak pulak," jawab Shiqa.

Keesokkannya ketika pulang dari pasar, Shiqa terserempak dengan pengemis semalam. Lantas dia mengejar pengemis itu dan memberinya sedikit wang saku. Belum sempat pengemis itu berkata apa-apa, Shiqa telah berlalu. Begitulah mulianya hati Shiqa. Saban hari dia memberikan pengemis tersebut makanan walaupun ditolak, dia pasti menyuruh pengemis itu diam setiap kali pengemis itu ingin bercakap sesuatu.

Sehinggalah satu ketika Shiqa gelisah kerana sudah hampir 2 minggu dia tak nampak kelibat pengemis tersebut. Dalam hatinya timbul simpati, manalah tahu kalau-kalau ditangkap Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun mungkin menjadi mangsa buli budak-budak nakal.

Puas Shiqa mencari si pengemis bertemankan kembarnya Rafiqa, namun mereka gagal menjejaknya. Shiqa kecewa kerana niatnya memberikan pakaian baru kepada pengemis tersebut tidak tercapai. Namun dia tetap berdoa agar Allah menyelamatkan pengemis tersebut dari malapetaka.

Suatu hari hati Shiqa melonjak saat terlihat pengemis itu datang ke gerainya setelah hampir sebulan menghilang. Lantas dia menghulurkan sebuah beg plastik mengandungi pakaian kepada pengemis tersebut, namun pengemis tersebut menolak membuatkan Shiqa marah.

"Saya sedekah ikhlas, niat saya nak bantu awak. Ambik la pakaian ni, jangan la pakai baju kotor tu." ujar Shiqa.

"Tapi saya ni pomen kereta, nak buat apa saya pakai baju cantik-cantik ni? Ni saya nak pulangkan duit yang awak bagi dulu, setiap kali saya nak pulang awak mesti lari. Lepas tu bila saya nak tanya awak suruh diam pulak!" marah lelaki tersebut yang sebenarnya bukanlah pengemis. Shiqa terasa sangat malu lebih-lebih lagi bila terlihat Rafiqa serta ibu dan ayahnya mentertawakannya.

p/s : Don't judge a book by it's cover..

Thursday, 3 November 2011

Misteri Mimpi Syakilla


Oh, ini pastinya bukan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Wings. Ini adalah kisah mengenai seorang gadis bernama Syakilla. Seorang yang terkenal dengan perwatakan yang lembut tetapi sering dihantui oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.

Sebenarnya kejadian misteri ini menimpa Syakilla semenjak dia menamatkan pengajian di universiti lebih kurang 3 tahun yang lepas. Syakilla sering dihantui mimpi-mimpi menakutkan hingga adakalanya dia menangis, termenung dan meroyan sendirian. Keadaan ini memaksa rakan-rakannya menjauhkan diri darinya kecuali Siti, seorang rakan yang sentiasa cuba memahami Syakilla.

Disebabkan mimpi-mimpinya itu telah menjadikan Syakilla seorang yang dirundum kemurungan, Siti mencadangkannya pergi berubat dengan seorang ustaz yang terkenal dengan ilmu perubatannya iaitu Ustaz Amran.

Pada awalnya Syakilla enggan tetapi akhirnya dia bersetuju setelah turut dipujuk oleh ibubapanya. Maka bertemulah Syakilla dengan Ustaz Amran.

"Benar ke kata orang yang kamu kerap alami mimpi-mimpi ngeri sehingga menyebabkan kamu mengalami kemurungan?" soal Ustaz Amran.

Syakilla tidak menjawab sebaliknya tunduk mendiamkan diri. Ibunya cuba memujuk Syakilla supaya menceritakan apa yang berlaku hingga menyebabkan dia jadi seorang gadis sasau. Akhirnya Syakilla bersuara.

"Sebenarnya saya tak mimpi apa-apa pun," jawab Syakilla mengejutkan semua yang ada.

"Sudah tu kenapa kawan-kawan kamu kata kamu meracau, termenung, menangis tak tentu pasal setiap kali kamu tidur?" soal Ustaz Amran inginkan kepastian.

"Saya tertekan sebab belum lunaskan pinjaman PTPTN saya. Tu yang buat saya runsing," jawab Syakilla. Semua yang ada menepuk dahi masing-masing.


p/s : Lunaskanlah pinjaman PTPTN anda!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...